Sunday 26 August 2012

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN


PENGISYTIHARAN KEMERDEKAAN

Pada 31 Ogos 1957 bertempat di stadium yang baru dirasmikan iaitu Stadium Merdeka, Kuala Lumpur telah menyaksikan peristiwa bersejarah bagi Tanah Melayu iaitu secara rasminya penyerahan pemerintahan Persekutuan Tanah Melayu daripada pemerintahan British kepada warganegara Tanah Melayu.
Hujan lebat yang turun sejak 3 pagi menyukarkan pergerakan dan sehingga 6.30 pagi, stadium masih belum dipenuhi oleh pengunjung. Ini menyebabkan upacara telah ditangguhkan selama sejam dan pengumuman majlis bermula kedengaran bukan pada pukul tujuh seperti yang dijangka tetapi pada pukul lapan. 2,000 orang tentera Persekutuan menumpang di sekolah-sekolah berhampiran stadium sebelum itu berarak dalam hujan dan tujuh batalion yang membuat perarakan ketika itu iaitu Rejimen Persekutuan, Skuadron Isyarat, Skuadron Jurutera, Tentera Laut Diraja Tanah Melayu, Tentera Laut Simpanan Diraja Tanah Melayu dan Askar Sivil Persekutuan.
Pada pukul 8, para media telah diberi pengumuman untuk bersedia dan semua peralatan kamera dan media ketika itu dipasang dengan perlindungan plastik atau pelapik kalis air lain di sekitar padang yang lembap. Kebetulan, hujan reda yang memungkin segala persiapan sebelum upacara bermula dapat dijalankan dengan mudah. Pengunjung bertambah ramai untuk menyaksikan upacara bersejarah ini.
Antara kumpulan pengunjung yang tiba di stadium adalah Kadet, Pengakap Laut (dengan pakaian putih, topi putih dan seluar pendek berwarna biru), Pandu Puteri (berpakaian biru muda), Pengakap (dengan kain skaf, berwarna merah dan emas, merah dan hitam, merah dan biru, merah dan putih), Pasukan Briged St. John's Ambulance dan Palang Merah British turut mengambil tempat di sisi stadium manakala kumpulan pancaragam dan pengawal kehormat berada di susur terowong masuk.
Kemudian, tetamu-temamu kehormat mula tiba Lord Chancellor dari England berpakaian yang sama seperti ketika dia menjadi hakim Mahkamah Tinggi Persekutuan. Pemangku Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan merupakan Raja Melayu yang pertama berangkat tiba diikuti Tengku Mahkota Johor (dalam pakaian uniform tentera baginda) yang menggantikan Sultan Johor, Sultan Perak (berpakaian berwarna krim), Sultan Terengganu (berpakaian emas bersama merah gelap dan hijau), Sultan Kelantan (berpakaian emas pucat), Sultan Kedah (berpakaian biru dan perak) Raja Perlis (berpakaian emas), Sultan Pahang (berwarna merah senduduk dan dan perak) serta yang akhir sekali, baginda Yang di-Pertuan Agong yang berpakaian perang serta memakai keris yang baru. Setiap daripada baginda diiringi bunyi nafiri dan berdiri di bawah payung kuning keemasan sambil Yang di-Pertuan Agong berjalan ke tempat duduk baginda. Pengunjung stadium masih lagi berdiri apabila Duke of Gloucester masuk sambil diiringi Sir Donald MacGillivray. Dengan ketibaan semua tetamu diraja, upacara Pengisytiharan dimulakan.
Adikung Duke membawa watikah perlembagaan yang menyatakan pengunduran daripada perlindungan British terhadap negeri-negeri Melayu dan kedaulatan terhadap Pulau Pinang dan Melaka. Raja-raja Melayu mula melangkah ke pentas dan Duke mengambil tempat di depan pentas sambil menerima hormat diraja sambil diiringi oleh Sir Donald MacGillivray. Ketika itu merupakan kali terakhir satu-satu upacara negara menyanyikan lagi kebangsaan British di Persekutuan Tanah Melayu. Kemudian, baginda Duke membacakan perutusan daripada baginda Ratu Elizabeth II akan pernyataan baginda yang mengalukan kemasukan Persekutuan ke dalam Komanwel dan mendoakan kejayaan negara ini.
Kemudian, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman bangun dari tempat duduknya dan menerima watikah perlembagaan sebagai lambang penyerahan kuasa pemerintahan sepenuhnya kepada Persekutuan Tanah Melayu. Duke mengambil tempat duduk dan Tunku mulakan ucapannya dalam bahasa Inggeris. Setelah Tunku mengucapkan penghargaan kepada Great Britain akan pertolongan untuk mencapai kemerdekaan, beliau mula membaca teks "Pengisytiharan Kemerdekaan".
Pengisytiharan itu disambut dengan laungan "MERDEKA" 7 kali sebagai Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama di hadapan 20 ribu rakyat Persekutuan Tanah Melayu dan Raja-rajanya serta perwakilan dari 30 negara-negara Komanwel dan negara-negara asing lainnya. Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan dengan iringan Lagu Kebangsaan Negaraku yang buat pertama kalinya diperdengarkan secara rasmi dalam sebuah negara baru. Diikuti pula selepas itu dengan seruan azan oleh tokoh agama Islam iaitu Datuk Hassan Azhari sebagai simbolik lahirnya sebuah negara baru dimana Islam, merupakan agama rasmi Persekutuan Tanah Melayu dan tembakan meriam seratus satu das.
Dengan bunyi nobat nafiri, Yang di-Pertuan Agong diiringi oleh Duke of Gloucester, berangkat pergi dari pentas diikiuti oleh pemerintah Melayu yang lain, Perdana Menteri dan Sir Donald MacGillivray. Kemudian, Doa Selamat dibacakan bagi memohon keberkatan dan keredhaan Allah terhadap sebuah negara yang baru dilahirkan
Dengan pengisytiharan itu, maka berakhirlah penjajahan Inggeris dan kuasa Baginda Ratu ke atas Persekutuan Tanah Melayu termasuk Pulau Pinang dan Melaka iaitu sejak lebih 170 tahun. Pada hari itu juga Pesuruhjaya Tinggi British terakhir di Persekutuan Tanah Melayu, Sir Donald MacGillivray dan isterinya telah meninggalkan negara ini dan pulang ke England.
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI BUAT SEMUA WARGA SK PERMATANG TIONG DAN SELURUH UMAT ISLAM DI MALAYSIA
MAAF ZAHIR & BATIN

Monday 23 July 2012

SELAMAT BERPUASA SEMUA


Hazrat Salman رضي الله عنه berkata bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah bersabda kepada kami pada hari terakhir dari bulan Sya'aban:


Wahai manusia! Telah datang kepada kamu satu bulan yang agung lagi diberkati. Satu bulan yang terdapat di dalamnya satu malam ( Lailatul- Qadr ) yang lebih baik daripada seribu bulan. Satu bulan yang mana Allah سبحانه وتعالى telah menjadikan puasa pada siang harinya sebagai satu amalan fardhu dan berdiri pada malamnya ( bertarawih ) sebagai satu amalan sunat. Sesiapa yang cuba menghampiri Allah سبحانه وتعالى padanya dengan mana-mana amalan sunat maka seumpama seorang yang telah menunaikan satu fardhu pada bulan-bulan yang lain dan sesiapa yang menunaikan satu fardhu di dalamnya adalah seumpama seseorang yang menunaikan 70 fardhu pada bulan-bulan lain.


Ia adalah bulan kesabaran di mana ganjaran kesabaran adalah syurga. Ia adalah bulan simpati. Ianya bulan yang ditambahkan rezeki kepada orang-orang yang beriman. Sesiapa yang memberi seseorang yang berpuasa untuk berbuka, maka ia merupakan pengampunan untuk dosa-dosanya dan kelepasan dirinya dan neraka dan dia mendapat ganjaran puasa orang tersebut tanpa mengurangkan sedikitpun dari ganjaran pahalanya." Sahabat-sahabat رضي الله عنه  lalu berkata, "Tidaklah setiap dari kami mempunyai sesuatu untuk diberi kepada orang yang berpuasa untuk berbuka." Maka Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda, "Allah سبحانه وتعالى memberikan pahala itu kepada sesiapa yang memberikan walaupun sebiji tamar atau seteguk air ataupun sesisipan susu kepada orang yang berpuasa untuk berbuka."


Ia adalah satu bulan yang bahagian awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya kelepasan dari api neraka. Sesiapa yang meringankan beban hamba-hambanya (pekerja-pekerjanya) pada bulan itu maka dia akan diampunkan oleh Allah سبحانه وتعالى. dan akan dilepaskan dari azab api neraka.


Perbanyakkanlah pada bulan ini empat perkara. Kamu meredhakan Tuhan kamu dengan dua perkara dan dua perkara lagi yang tidak boleh tidak kamu memerlukannya. Ada pun dua perkara yang kamu dapat meredhakan Tuhan kamu dengannya adalah penyaksian bahawa tiada Tuhan selain Allah dan kamu memohon istighfar daripadaNya. Sementara dua perkara yang tidak boleh tidak kamu perlukannya ialah memohon syurga dari Allah سبحانه وتعالى dan meminta perlindungan dari api neraka.


Sesiapa yang memberi minum kepada mana-mana orang yang berpuasa maka Allah سبحانه وتعالى akan memberinya minum dari telagaku (pada hari kiamat), dengan sekali minum, dia tidak akan dahaga lagi sehingga dia masuk ke dalam syurga.


(Hadis riwayat Ibnu Huzaimah, Baihaqi dan Ibnu Hibban)